Projek Khas

Program Pemulihan Khas

Program Pemulihan Khas telah dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) semenjak tahun 1960an bagi membantu murid-murid di sekolah rendah yang menghadapi masalah khusus dalam pembelajaran iaitu menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira ( 3M ).

Pada tahun 1983, sistem pendidikan Malaysia telah memperkenalkan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR). Kurikulum baru ini merupakan satu usaha untuk kembali semula kepada asas pendidikan dengan memberi fokus kepada 3M dan murid-murid yang tidak menguasainya dibantu melalui Program Pemulihan Khas. Pengajaran dan pembelajaran pada Tahap 1 (Tahun 1-3) akan membolehkan guru-guru mengenalpasti murid-murid yang mempunyai masalah penguasaan asas 3M. Seterusnya pihak sekolah berusaha menyediakan Program Pemulihan Khas bagi mengatasi masalah penguasaan asas 3M.

Program KIA 2M

Pada 22 November 2005, mesyuarat Memperkasakan Sekolah Kebangsaan telah membuat ketetapan supaya masalah kegagalan menguasai kemahiran asas membaca dan menulis dalam kalangan murid tahun 1 ditangani dengan segera. Justeru itu, Pusat Pekembangan Kurikulum telah dipertanggungjawabkan untuk menerajui dalam menangani masalah ini. Maka, program Intervensi Awal Membaca dan Menulis (KIA2M) telah diperkenalkan pada awal tahun 2006.Program ini bertujuan untuk memastikan murid tahun 1 boleh menguasai kemahiran asas membaca dan menulis setelah mengikuti program ini selama 3 bulan.

Program PROTIM

Program Pemulihan 3M Pasca UPSR (PROTIM) merupakan program untuk murid tahun 6 yang masih belum menguasai kemahiran membaca dan menulis dengan baik. Program ini bermula pada tahun 2006. Program ini mencerminkan usaha serius Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menggempur masalah 3M dan memastikan murid tamat persekolahan rendah dengan sudah menguasai kemahiran membaca, menulis dan megira sebelum mereka menjejaki ke alam sekolah menengah. Program ini dilaksanakan selepas Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Program PKMOA

Program Khas Murid Orang Asli merupakan program pemulihan khas hanya untuk murid-murid orang asli dan penan. Sukatan pelajaran mereka bersifat fleksibel dan dinamik yang bertujuan melahirkan murid yang seimbang secara menyeluruh dan bersepadu dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, bersesuaian dengan zaman teknologi maklumat abad ke-21.Kemahiran tertentu yang dipilih bagi Program Khas Murid Orang Asli ini berdasarkan kemahiran yang terdapat dalam Sukatan Pelajaran KBSR. Ini bertujuan agar mereka dapat kemahiran (lisan, mendengar dan bertutur), membaca dan penulisan. Program Khas Murid Orang Asli telah dirancang oleh Kementerian Pendidikan untuk memenuhi keperluan pendidikan murid Orang Asli yang tidak dapat menguasai kemahiran asas lisan, membaca dan menulis. Mereka akan menjalani program Tahun Pemulihan selepas Tahun 2.

0 ulasan: